Awal malam tadi
aku duduk di balik pintu
merenung bintang
tinggi di langit
tampak indah sekali
hingga rasa inginku gapai
terbit di lubuk jiwa.
Tengah malam tadi
aku masih di situ
merenung indah ciptaan Tuhan
yang sukar aku gambarkan
dengan hanya sebaris kata.
Masih malam tadi
aku melafazkan potongan doa
hidup di alam asmaraloka
kita berdua
tanpa ada duka
kepada Dia Yang Maha Berkuasa.
Juga malam tadi
aku melakar indah
segugus bintang bersinar
terang cahayanya
elok rupa wajahnya
di atas kanvas putih
yang aku mahu
hadiahkan
khas untukmu,
bintangku.
Tetap malam tadi
pantulan cahayamu
kerlipan warnamu
kerdipan sinarmu
membuat aku
tetap ada di situ
di balik rindu.
Lewat malam tadi
aku tenung kelibatmu
yang cuba mendekati
segenap hidupku
dengan turun dari langit
kau datang hampiri aku
biarpun dirimu bintang indah
dan aku hanya
batu yang kelabu.
Dan malam tadi
aku panjat kesyukuran
berkat doa dan harapan
yang aku lafaz dan garapkan
ku peroleh apa yang diimpikan
kita bersama berjalan
seiring di atas laluan
baldu menuju Syurga impian.
was created on 28 June 2010 : 02:19